Thursday, February 11, 2010

...hiKmAh bErTaUbAt...

salam to all of you..hope semua berada dalam keadaan sihat walafiat..hari ni nak kongsi sikit pasal hal ni..hmm,apakah taubat? Taubat dari segi bahasa bermakna kembali manakala erti istilah ialah kembali mendekatkan diri pada
Allah setelah tersasar jauh daripada-Nya.

TAUBAT adalah magnet paling kuat dan berkesan untuk berubah. Seorang yang jahat akan berubah menjadi baik setelah bertaubat,
seorang yang bermulut lancang akan menjadi pendiam dan beradab setelah bertaubat dan seorang yang syirik menjadi alim
setelah bertaubat.

Hakikat taubat adalah menyesal terhadap apa yang telah terjadi, meninggalkan perbuatan tersebut serta-merta dan memiliki
keazaman yang kuat untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut pada masa yang akan datang.

Taubat adalah sebuah keinginan untuk kembali kepada Allah. Landasan taubat adalah mencari Allah. Kecenderungan bertaubat
terdetik di hati kerana keinginan yang membuak-buak untuk membuat perubahan dan penyesalan yang tidak terhingga.

Pertama sekali, niat untuk bertaubat harus murni. Kemurnian ini memberi petanda kepada keikhlasan untuk mencari hidayah
dan semoga hidayah tersebut akan dilimpahkan ke atas hati yang sedar dan insaf. Kesucian inilah yang menarik kuat kasih
sayang Allah.

Junjungan besar Rasulullah mengucapkan doa ini, yang dibaca setiap kali berwuduk iaitu: Ya Allah, jadikan hamba termasuk
ke dalam 'At-Tawwabiin' (mereka yang bertaubat), dan jadikan hamba termasuk ke dalam 'al-Muthahhirin'
(mereka yang disucikan). Bahkan Rasulullah pun masih memohon kepada Allah untuk dimasukkan ke dalam golongan orang yang
bertaubat. Bagaimana pula dengan kita?


Keinginan taubat

Keinginan untuk bertaubat adalah pilihan dan panggilan Allah terhadap hamba yang dikasihi-Nya. Sekiranya terdetik dalam
hati dan mulai tumbuh bibit-bibit kegelisahan dalam hidup ataupun rasa kuat keinginan untuk kembali kepada-Nya, itulah
tanda Allah sedang memanggil dan insya-Allah, hidayah sedang menusuk ke dalam hati kita.

Kesempatan ini harus digunakan sepenuhnya dan jangan sesekali diabaikan. Peluang sebegini bukannya mudah untuk
mendapatkannya kerana hasrat untuk kembali kepada fitrah adalah suara hati setiap orang. Memilih untuk tidak mahu
bertaubat dan tidak menghiraukan panggilan-Nya, maka orang itu termasuk orang yang zalim.

Seorang pemuda yang terlalu sedih kerana ditipu rakan wanitanya untuk berkahwin. Kesedihannya sangat panjang.
Tiga tahun beliau menyimpan rasa kecewa. Setiap kali ada kesempatan beliau akan pergi ke tempat-tempat mereka
pernah bersama, mengingati detik-detik indah dan ternyata keadaan itu membuatkannya berasa gembira. Tetapi apakan daya,
wanita yang dicintainya ini seorang yang tidak setia dan tidak boleh dipercayai.

Runtunan hati yang merindui dan mengingati teman wanitanya membuatkan pemuda ini meluahkan isi hatinya kepada
kaunselor yang berpengalaman. Mereka berhubung hanya melalui emel dan jawapan yang diberikan telah mengubah persepsinya
selama ini.

Selepas tiga tahun menderita, akhirnya beliau melihat masih ada sinar dalam hidup yang tidak pernah beliau fikir.
Berikut adalah jawapan yang mengubah paradigma dan membuatkan pemuda ini melihat masa depan yang lebih positif
dalam hidupnya. Jawapan kaunselor kepada pemuda itu, begini:

Perasaan cinta kepada wanita itu adalah satu naluri semula jadi seorang insan. Namun, ia bukanlah harus disusuli
dengan tindakan dan perbuatan yang melanggar hukum Allah kerana jika ini berlaku maka kita juga akan melawan hukum fitrah.

Cinta yang sejati sebenarnya akan lahir bukan sebelum perkahwinan tetapi selepas berkahwin kerana sesungguhnya
Allah yang akan mempertautkan hati dua insan.

Jika Allah yang mempertautkan hati, ia akan berkekalan dan besar ertinya dalam kehidupan harian kita ini.

Persoalan mungkin timbul iaitu apa pula perasaan yang sedang saudara dan mungkin ribuan manusia di muka bumi ini merasainya
- perasaan yang dirasai kepada seorang wanita sebelum perkahwinan.

Jika perasaan itu mendalam sehingga mengajak kepada satu tindakan yang kurang wajar seperti tidak tidur malam asyik
memikirkan si kekasih, rindu dilepaskan dengan berjumpa selalu, yakinlah... dan yakinlah sebenar-benarnya ia bukan
datang dari Allah tetapi dari syaitan yang terkutuk!

Syaitan yang membisikkan ke dalam diri seseorang insan itu agar terus berhubungan dan mempunyai perasaan yang
bukan-bukan atas nama 'cinta' untuk mendekati seseorang.

Syaitan ada pada setiap diri anak Adam. Cuma bergantung kepada kita. Kalau kita kuat, syaitan tidak boleh
buat apa-apa. Tetapi kalau kita lemah, kita mudah akan dipermainkan dan diperkotak-katikkan. Akhirnya,
kita akan mudah menjadi hamba syaitan.

Percayalah, perasaan yang anda miliki ini adalah mainan syaitan dan bukannya 'cinta abadi'
yang dicari oleh setiap insan.

Pokoknya kita kena bertaubat dan kembali kepada Allah dan tahu cara-cara bagaimana mencari isteri
idaman agar dapat mencapai tahap kebahagiaan yang sebenar.

0 comments:

 

Blog Template by YummyLolly.com - Header made with PS brushes by gvalkyrie.deviantart.com